Tiga pemain negara harumkan nama Malaysia

Tiga pemain skuad Malaysia yang beraksi di Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu telah tersenarai dalam kesebelasan terbaik Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Malam Anugerah AFF yang berlangsung pada malam tadi.

Pemain skuad Malaysia yang tersenarai dalam kesebelasan tersebut adalah pemain bek, Syahmi Safari, pemain tengah Syamer Kutty Abba dan juga striker, Norshahrul Idlan Talaha. Vietnam mempunyai tiga wakil dalam senarai itu iaitu penjaga gol, Dang Van Lam, pemain pertahanan Que Ngoc Hai dan striker, Nguyen Quang Hai. Turut tersenarai adalah dua pemain Thailand iaitu Korrakot Wiriya-Udomsiri (pertahanan) dan Sanrawat Dechmitr dan satu wakil masing-masing daripada Singapura, Filipina dan Indonesia iaitu Safuwan Baharudin, Stephan Schrock dan Riko Simanjutak.

Selain itu, jaringan dari luar kotak penalti oleh Syahmi Safari dalam perlawanan separuh akhir kedua men3ntang Thailand di Bangkok turut memenangi Anugerah Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2018.

Ketua jurulatih Vietnam yang membawa pasukan tersebut menjuarai Piala AFF Suzuki pada tahun lalu, Park Hang Seo telah memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik Tahunan bagi bolasepak lelaki sementara Nuengrutai Srathongvian yang mengendalikan pasukan bolasepak wanita Thailand di Piala Dunia pada tahun ini memenangi anugerah bagi kategori wanita.

Pemain Vietnam, Nguyen Quang Hai telah dianugerahkan sebagai pemain terbaik tahunan (lelaki) dan Pitsamai Sornsai pula memenangi anugerah yang sama bagi kategori wanita. Pemain muda Thailand, Suphanat Muenta dipilih sebagai pemain muda terbaik tahunan oleh AFF. Bagi Anugerah Pasukan Terbaik tahunan pula, kategori lelaki dimenangi oleh juara Piala AFF Suzuki 2018, Vietnam dan bagi kategori wanita pula dimenangi oleh pasukan wanita Thailand yang mara ke Piala Dunia lalu.