Punca ‘Laku Keras’

KUALA LUMPUR: Singapura menjadi ‘lubuk’ pemain ASEAN paling ‘laku keras’ selepas lima pemain dari republik itu menjadi pilihan beberapa pasukan Liga Super musim ini.

Lima pemain dari seberang tambak yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini adalah Hariss Harun (Johor Darul Ta’zim), Shakir Hamzah (Kedah), Safuwan Baharudin (Selangor), Faris Ramli (Terengganu FC) dan Khairul Amri Mohd Kamal (FELDA United FC).

Selain Singapura, tiga pemain Thailand turut ‘dieksport’ ke sini iaitu Narupon Wild (Melaka), Anawin Jujeen (PJ City FC) dan Dennis Buschening (Sabah).

Turut beraksi tiga pemain dari Filipina iaitu Adam Reed (Pahang), Mark Hartmann (UiTM FC) dan Amin Nazari (Kedah) selain seorang dari Kemboja iaitu Thierry Chantha Bin (Perak).

Mengulas mengenai perkembangan itu, Pengarah Urusan Offside Sports, Abdul Halim Abdul Shukor menjelaskan persamaan budaya dan bahasa dilihat antara faktor pemain Singapura menjadi buruan kebanyakan pasukan Liga M bagi mengisi kuota import ASEAN.

Abdul Halim berkata, dua faktor berkenaan memudahkan pihak kejurulatihan dan pengurusan untuk berurusan dengan pemain dari seberang tambak itu.

“Pemain import dari Singapura mudah menyesuaikan dengan budaya serta bahasa di Malaysia kerana tidak ada banyak perbezaan dengan negara mereka.

“Ini satu kelebihan ketara jika hendak dibandingkan dengan pemain import ASEAN lain dan perkara ini turut menjadi salah satu faktor yang dilihat jurulatih atau pengurusan.

“Sejarah bola sepak Singapura banyak juga terbina daripada Malaysia dan ini menjadikan mereka tidak sukar memahami falsafah bola sepak di sini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *