Inilah Perkataan Rowley Suka Sebut

PEMAIN tengah Kedah David Rowley tidak mahu masa yang terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 yang beliau lalui di rumahnya berjalan tanpa aktiviti yang memberi manfaat untuk dirinya.

Selain melakukan aktiviti meningkatkan kecergasan di rumah pada masa ini, pemain tempatan berdarah kacukan Malaysia-Australia ini meluangkan masa dengan mendalami penguasaan Bahasa Malaysia secara ‘online’ di rumahnya selain bermain alat muzik piano.

“Saya sedang berusaha meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia sebaik mungkin setiap hari selepas selesai menjalani latihan kecergasan stamina di rumah memandangkan tahap kefasihan saya masih belum berada di peringkat terbaik.

“Selain merujuk kepada ibu saya setiap kali kami berhubung, saya juga memilih saluran YouTube iaitu Sierra Lisse dan Lobak Merah yang mana melalui pelajaran yang lebih jelas. Ini akan memudahkan saya melakukan catatan dan bahan rujukan bagi membantu kefahaman dengan lebih cepat serta mudah.

“Selain itu saya juga meluangkan masa 20 minit sehari diwaktu PKP ini dengan bermain piano dan kini saya sedang menumpukan latihan bermain satu lagu, dimana isteri saya menamakan lagu berkenaan ‘PKP’,” katanya.

Rowley yang fasih berbahasa Jerman mengakui cara terbaik untuk menguasai Bahasa Malaysia adalah sama dengan bahasa lain iaitu dengan melakukan komunikasi atau bercakap secara langsung dengan setiap orang setiap hari.

“Saya akan berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia setiap kali saya keluar ke pasar dan saya juga sudah biasa dengan loghat tempatan di Kedah sewaktu bersama pemain di Kedah ini dan saya rasa apa yang penting adalah usaha untuk memperbaikinya setiap hari.

“Antara loghat Kedah yang saya gemar sebut adalah ‘Nyoq’ (kelapa) dan ‘Tidoq’ (tidur)..” katanya dengan nada santai.

Pemain kelahiran Brisbane, Australia berusia 30 tahun ini mula beraksi bersama Kedah selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan kehadirannya di Kedah pada tempoh Jendela Perpidahan Pemain Mei tahun lalu.

Rowley pernah beraksi bersama beberapa kelab luar seperti Brisbane City FC (A-League), Inter Leipzig (Divisyen 5 Jerman), Tennis Borussia Berlin, BSC Rehberge Berlin serta beberapa kelab di Thailand iaitu Chumpon FC dan Nara FC sebelum berhijrah ke Malaysia dan beraksi bersama Negeri Sembilan FA dan Kelantan FA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *