Sanchez perkuat pasukan JDT

KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menandatangani bekas pengarah akademi dan pencari bakat kelab Sepanyol, Malaga CF, Rafael Gil Sanchez sebagai ketua jurulatih JDT II yang baharu.

Pengesahan itu diumumkan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan ringkas di facebook rasmi kelab, JDT, hari ini.

Edwards menjelaskan Rafael pernah memikul pelbagai tugas di Sepanyol seperti ketua jurulatih Akademi Malaga dan skuad bawah 23 (B-23) tahun.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pencari bakat RCD Espanyol di England dan penolong jurulatih untuk skuad kebangsaan Arab Saudi.

“Antara tugas utama Rafael adalah membantu perkembangan pemain muda dalam pasukan dan bermain gaya yang sama dengan skuad senior, sekali gus membolehkan kelancaran peralihan ke skuad senior,” kata Edwards.

Sanchez akan menggalas tugas Ervin Boban yang meninggalkan JDT II selepas membantu skuad itu menjulang Piala Cabaran, bulan lalu.

Selain itu, Edwards turut mengesahkan JDT II akan dibarisi ramai pemain muda bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

“JDT II akan menyaksikan kemasukan lebih ramai pemain muda pada tahun 2020 berikutan keputusan kelab untuk melepaskan beberapa pemain dan mempromosikan pemain dari akademi.